Monday 23 May 2016

Pengurusan Pembangunan Insan Dalam Institusi

Assalamualaikum wbt.

Dalam dua penulisan lalu, penulis telah membincangkan serta menghuraikan dua kekuatan yang perlu ada dalam diri seorang mukmin ke arah pembangunan insan yang mapan. Pada entri kali ini, penulis akan membincangkan dua lagi kekuatan yang perlu ada bagi memantapkan lagi usaha seseorang insan dalam mempersiapkan diri dalam membangunkan insaniah dalam diri sebagai seorang pelaku pembangunan.

Membina Kekuatan Dalam Pembangunan Insan

3) Pembentukan matlamat.

Setelah dua kekuatan tadi menjadi benteng kukuh, pembinaan matlamat dan objektif yang kukuh perlu dilaksanakan bagi menjelaskan kemana arah tuju pembangunan insan yang ingin dilaksanakan. Matlamat ini harus jelas dan perlu dibina atas dasar keteguhan hati bagi menyempurnakan matlamat itu. Matlamat yang berubah-ubah bukanlah sesuatu yang baik kerana itu akan menggambarkan pembuat dasar matlamat tersebut tidak yakin dengan pemilihan matlamat. Seharusnya keyakinan itu perlu kekal dilaksanakan dari awal sehingga matlamat tersebut berjaya dicapai. Namun selari dengan matlamat dalam 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam yang dibincangkan oleh Muhammad Syukri Salleh, (2003). Mencapai mardhatilah adalah matlamat terakhir bagi semua manusia yang berpegang teguh kepada tauhid dan akidah.

Meskipun keredhaan Allah itu bukan sesuatu yang boleh dinilai dengan mata kasar, tetapi bagi umat Islam yang benar-benar berpegang teguh kepada iman dan akidah, mereka meyakini bahawa keredhaan Allah SWT itu akan hadir dalam pelbagai bentuk yang hanya mereka sendiri mampu menilainya. Seterusnya melastarikan langkah-langkah pencapaian matlamat yang disebut dengan istiqomah ataupun tetap pendirian. Selari dengan pendapat ulama’ berkenaan hadith yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas R.A tentang Istiqomah yang bermaksud:

Istiqomah itu membawa tiga pengertian iaitu:

1) Istiqomah dengan lisan (bertahan dengan janji keimanan (syahadah)
2) Istiqomah dengan hati (melakukan segala perkara dengan niat dan jujur)
3) Istiqomah dengan jiwa (berterusan melaksanakan ibadah dan ketaatan kepada Allah secara terus-menerus tanpa terputus).

Kelestarian inilah yang diperlukan dalam melaksanakan pembangunan insan dengan mengambil kira setiap sudut dalam pencapaian matlamat tersebut. Perkara ini hanya wujud apabila seorang individu itu menyedari bahawa Allah Maha Melihat setiap gerak-gerinya, mengetahui niatnya dan melihat perbuatannya. Mereka perlu meyakini bahawa Allah ada dalam setiap perilakunya.Berbeza dengan pandangan pengkaji dan teori barat yang meletakkan aspek material sebagai pencapaian mutlak yang terakhir dalam pembangunan insan. Mereka meletakkan kebendaan, kekayaan,kejayaan yang boleh diukur dengan parameter-parameter yang tertentu untuk menilai pencapaian matlamat mereka. Maka disini akan wujudnya pelbagai sifat yang tidak baik apabila jika sesetengah perkara yang dirancang itu tidak mencapai matlamat atau tersasar jauh dari matlamat asal. Islam menolak matlamat seumpama ini yang meletakkan kebendaan sebagai matlamat akhir kerana pelbagai perkara seperti hasad dengki, khianat, kufur dan sebagainya akan timbul jika matlamat akhir itu hanya bertujuan materealistik. Maka penetapan matlamat juga merupakan adalah salah satu sumber kekuatan yang penting dalam membangunkan insan yang tetap dengan matlamat.

4) Ikhtiar dan Tawakkal.

Kekuatan terakhir yang perlu ada dalam diri manusia adalah ikhtiar dan tawakkal. Ikhtiar merupakah kaedah selepas penetapan matlamat. Setelah matlamat di tetapkan, maka usaha untuk ke arah matlamat perlu dilaksanakan. Tidak hanya dengan duduk berdiam diri, tanpa berbuat apa-apa itu tidak menjadikan apa-apa maksud dalam mencapai matlamat tersebut. Strategi dan perkaedahan perlu dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan usaha menuju matlamat dijalankan. Misalnya jika ada individu yang telah menetapkan matlamat untuk menjadi manusia yang berjaya pada masa akan datang, maka usaha untuk ke arah kejayaan tersebut perlu dimulakan. Setiap strategi dan kaedah juga perlu ada batasan-batasan yang mesti dipatuhi. Kerapkali kegagalan terjadi di peringkat terakhir ini. Ikhtiar atau usaha yang dijalankan kadangkala melampaui batasan atau tidak sepatutnya digunakan. Apabila ada batasan yang dilanggar, bagaimana kejayaan akan hadir dalam keadaan barakah? Atau mungkin usaha yang sekadarnya difikirkan cukup walhal tidak. Maka harus diperhalusi tertib dalam ikhtiar bagi memastikan ikhtiar itu menjadi sumber kekuatan dalam diri manusia. Mendidik jiwa dan rohani dalam ikhtiar adalah sesuatu perkara yang mana sifat ini merupakan perintah dari Allah SWT. Ihhtiar juga menjadikan manusia bukan hanya sekadar mampu untuk mengatasi permasalahan sahaja bahkan persoalan yang timbul dari permasalahan juga mampu dijawab dengan cara berfikir yang dianjurkan Islam. Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum, sebelum mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.”
(Ar-Ra’d:11)

Seterusnya setelah pelbagai usaha dan ikhtiar dilakukan dalam melaksanakan pembangunan insan, usaha yang terakhir adalah tawakal. Tawakal atau Tawakul yang diambil dari istilah Arab membawa maksud menyerah atau bersandar. Menyerah disini bermaksud berserah kepada Allah SWT atas ketentuan seterusnya setelah berikhtiar dalam membangunkan diri untuk mencapai matlamat. Maka penyerahan membawa erti meletakkan seluruh kepercayaan kepada Allah dan bersedia menerima ketentuan-Nya. Setelah menyerahkan segala-Nya kepada Allah maka berpegang teguhlah kepada-Nya. Menyerah diri dan berpegang teguh kepada Allah adalah suatu ikatan yang saling berpaut dalam lingkungan tawakal. Dua perkara ini adalah asas kepada penyerahan diri tadi. Kebergantungan kepada hanya Allah SWT memperkukuhkan keyakinan manusia terhadap kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya dan juga rahmat-Nya dalam bertawakal. Sebagaimana yang di perintahkan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Dan bertawakalah kepada Allah yang hidup (kekal) yang tidak mati, dan bertasbihlah dengan memuji-Nya. Dan cukuplah Dia Maha mengetahui dosa-dosa hamba-hama-Nya."
(al-Furqan:58)

Ini merupakan senjata terakhir dalam membina kekuatan dalam diri manusia. Allah memperlihatkan kasih sayang-Nya dengan pelbagai cara dan bentuk bagi menjadi panduan kepada sekalian manusia. Hanya tinggal manusia itu sendiri yang perlu bijak dalam memilih setiap jalan dan caranya. Pembangunan insaniah adalah merupakan perkara paling asas dalam mencipta pembangunan lain kerana setiap pembangunan yang dijalankan, manusia telah ditetapkan oleh Allah sebagai perancang dan khalifah yang mentadbir pembangunan tersebut. Setiap satu-satu perkara itu telah Allah SWT menetapkan hikmahnya yang tersendiri. Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya." (al-Baqarah:30)


Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat diperhati dengan jelas bahawa kekuatan insan dalam melaksanakan pembangunan tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal semata-mata. Asas dalam membina kekuatan itu juga perlu dibentuk daripada unsur yang melibatkan iman dan akidah. Setiap aspek perlu dinilai dan diambil kira tanpa meninggalkan perkara-perkara yang boleh menyebabkan matlamat pembangunan yang ingin dicapai menyimpang atau tersasar jauh dari matlamat asal. Kesimpulannya aspek pembinaan kekuatan ini lebih menumpukan usaha manusia dalam memperbaiki diri sebelum membuka ruang dan menarik orang lain dalam bersama-sama membawa perubahan dan pembangunan insaniah. Maka disitulah timbulnya peranan individu dan mereka yang bakal bergelar pemimpin kepada pembangunan tersebut perlu untuk meneliti setiap langkah yang ingin dibuat. Justeru, dalam konteks menghasilkan pembangunan insan berteraskan Islam, perkara-perkara asas tersebut tidak boleh diabaikan kerana pembangunan lazim juga boleh menyatakan hal serupa dalam kaedah pembangunan mereka kerana jika pembangunan yang ingin dilaksanakan bertemu suatu matlamat titik material atau kebendaan, maka pembangunan tersebut sama sahaja berunsurkan asas pembangunan lazim.

Bibliografi

Abang Mohd. Razif Abang Muis. (2015). Pembangunan Insan Berteraskan Islam. Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur.

Ahmad Shukri Mohd. Nain dan Rosman Md Yusof. (2003). Konsep, Teori, Dimensi dan Isu Pembangunan Penerbit Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor Darul Ta’zim.

Ayat-ayat Al Quran Tentang Ketaqwaan Kepada Allah. (2014). http:// puteradelima. blogspot.my /2014 /04/ayat-al-quran-tentang-ketakwaan-kepada.html Di akses pada 3 April 2016.

Dakwah Jendela Pemikiran Ummah. (t.t.) Hakikat Manusia Sebagai Khalifah Diakses daripada http://www.dakwah.com.my/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=462:hakikat-manusia-sebagai-khalifah&catid=124:tafsir&Itemid=341 pada 28 Februari 2016

Fahrur Muis dan Muhamad Suhadi, (2014). Syarah Hadis 40 Imam Nawawi. ISBN 978-967-361-012-9 Penerbit Kemilau Publika Sdn. Bhd.

Kisah Muslim. (2013). Muhammad Al-Fatih, Penakluk Konstantinopel Diakses daripada https://kisahmuslim.com/4287-muhammad-al-fatih-penakluk-konstantinopel.html/ pada 28 Februari 2016.

Konsep Taqwa Dalam Al-Quran. (2012). http://derapkakidebu.blogspot.my/2012/03/konsep-taqwa-dalam-al-quran.html

Muhammad Syukri Salleh. (2003). 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.

Muhammad Quraish Shihab, (2001). Tafsir Al-Misbah. Pesan, Kesan dan Keserasian Al-Quran, Penerbit Lantera Hati, Jakarta Vol I-IV