Friday 28 October 2016

SYW502: Pembangunan Sahsiah Untuk Pengurus Institusi

Kompetensi Mahasiswa: Tinjauan Terhadap Tujuh Teras Pembangunan Kemahiran Insaniah KPT

Pendahuluan

Cabaran abad ke-20 memperlihatkan persaingan yang besar di peringkat global. Malaysia khususnya juga tidak lari daripada tekanan dan cabaran tersebut. Berbekalkan azam dan wacana dalam misi wawasan 2020, Malaysia tetap kukuh dengan keazaman untuk terus meningkat daya saing di setiap peringkat sehingga ke antarabangsa (Harun Hassan. t.t). Pelbagai pendekatan dan langkah diambil bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran dan rintangan yang mendatang. Justeru, kerajaan mengumumkan hasrat untuk membangunkan suatu agenda nasional iaitu model insan kelas pertama dalam RMK-9. Usaha tersebut dimulakan dengan menggerakkan satu transformasi pendidikan di setiap lapisan pendidikan sehingga peringkat universiti di Malaysia.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah diberi tanggungjawab untuk membina suatu garis panduan visi dan misi yang bersifat global. Visi KPT adalah untuk menjadikan Malaysia Pusat Kecemerlangan Pengajian tinggi Menjelang Tahun 2020, manakala Misi KPT adalah untuk membangun dan mewujudkan persekitaran pengajian tinggi yang menggalakkan ke arah menghasilkan pusat ilmu yang unggul dan insan yang kompeten, berinovasi serta berakhlak mulia untuk memenuhi keperluan negara dan antarabangsa (KPT, 2007).


Universiti Sebagai Medium Melahirkan Mahasiswa Berkompetensi


Melalui saranan visi dan misi baru yang diperkenalkan, universiti bukan hanya sekadar berfungsi menjadi pusat kecemerlangan ilmu sahaja. Bahkan, universiti juga perlu berusaha untuk meningkatkan peranan melahirkan modal insan yang berbakat besar dalam segenap lapangan. Bakat-bakat mahasiswa perlu digilap agar lebih berupaya untuk memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan negara. Menurut Ahmad Esa et.al., (2005), kelemahan dalam penguasaan kemahiran komunikasi merupakan antara kelemahan graduan yang paling ketara kerana pihak majikan memerlukan pekerja yang mahir dalam kemahiran komunikasi (Zaiton Mohd Hassan, 2003). Ahmad Esa et.al., (2005) juga berpendapat, kemahiran insaniah boleh dilaksanakan dengan baik di universiti kerana penerapan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar di seluruh Politeknik di Malaysia mendapat respons yang positif daripada kebanyakan pensyarah.


Modul Pembangunan Kemahiran Insaniah KPT


Modul Pembangunan Kemahiran Insaniah (Soft-Skills) Institusi Pengajian Tinggi Malaysia yang telah dibangunkan untuk menjadi rujukan kepada seluruh IPT di Malaysia. Antara garis panduan pelaksanaan yang terkandung dalam modul tersebut, graduan perlu memiliki kemahiran berkomunikasi, kemahiran untuk mengenal pasti dan menyelesaikan masalah dalam penghasilan inovasi dan juga gaya kepimpinan serta kerja berpasukan berkesan. Pembelajaran berterusan serta etika moral dan professional juga terkandung dalam penerapan modul pembangunan kemahiran insaniah KPT. Elemen keusahawanan juga termasuk dalam modul tersebut. Aktiviti keusahawanan yang dijalankan di universiti menerusi aktiviti ko kurikulum juga membantu meningkatkan lagi daya tahan dan inovasi pelajar. Melalui keusahawanan juga, pelajar dapat menimba pengalaman berinteraksi secara langsung dengan pelanggan untuk memahami dan merasai suasana serta keadaan dalam industri.

Pengalaman memainkan peranan besar dalam membentuk diri pelajar dalam menangani konflik yang wujud dalam industri pada masa hadapan. Selain itu, graduan bukan sahaja berupaya merebut peluang dalam pasaran pekerjaan, malah menghasilkan daya juang dan daya saing selain menjadi nilai tambah kepada industry. Hal ini seterusnya mampu untuk menyumbang sesuatu kepada pembangunan negara. Setiap teras yang terkandung dalam modul tersebut mempunyai objektif tersendiri. Cara untuk mengimplementasi teras-teras tersebut perlu dilaksanakan dengan lebih praktikal dan menarik. Ia bertujuan bagi memupuk kesedaran dari dalam dalam diri pelajar sendiri. Bukan atas dasar paksaan. Sememangnya setiap teras yang cuba disampaikan mempunyai hikmah yang tersendiri, tetapi kaedah penyampaian dan kerjasama daripada semua pihak penting dalam menjayakan agenda tersebut.


Penutup

Melihat kepada objektif ke empat KPT iaitu cuba untuk menghasilkan graduan yang kompeten untuk memenuhi keperluan guna tenaga negara dan antarabangsa dengan sasaran 75% graduan mendapatkan pekerjaan dalam bidang relevan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian memerlukan komitmen yang begitu tinggi dari pihak IPT untuk merealisasikannya (Huzili Hussin ey, al. t.t). Usaha mewujudkan satu jalinan kerjasama antara semua pihak termasuk kerajaan, IPT, pensyarah, moderator, industri dan golongan profesional perlu dilaksanakan dengan lebih bersifat global lagi iaitu melibatkan pihak-pihak di peringkat antarabangsa. Ini bagi membolehkan pelajar lebih bersemangat untuk cuba merasai berada di peringkat global dalam menimba pengalaman baru. Usaha seperti ini amat membantu kerajaan dan KPT pada masa hadapan untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama dalam usaha mencapai wawasan 2020.


Bibliografi

Ahmad Esa, Jailani Mohd Yunus dan Noraini Kaprawi (2005), Persepsi pensyarah terhadap penerapan kemahiran komunikasi menerusi ko kurikulum di politeknik. Jurnal Penyelidikan Pendidikan, Jilid 7. Putrajaya:

Harun Hassan. (t.t). Wawasan 2020 dan peranan pendidikan: suatu penghayatan. Jurnal Pengurusan.

Huzili Hussin, Azman Zakaria dan Muhammad Shukri Salleh. (t.t). Memperkasakan mahasiswa kejuruteraan menerusi penerapan kemahiran insaniah (soft skills).

Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. (2006). Modul pembangunan kemahiran insaniah (SOFT SKILLS) untuk Institusi Pengajian Tinggi Malaysia. Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Zaiton Mohd Hassan (2003), Developing graduates for the global market. National IPT, Industry and Career Symposium Melaka. Tidak diterbitkan.