Monday 14 March 2016

Pengurusan Pembangunan Insan Dalam Institusi



Pembentukan Kekuatan Dalam Pembangunan Insan

Pendahuluan

Manusia atau insan merujuk kepada makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT melalui peringkat-peringkat tertentu. Peringkat-peringkat tersebut telah diceritakan di dalam al-Quran menerusi firman-Nya yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang berbentuk (lain). Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik.”
(Al Mukminun, 23: 12-14)

Muhammad Quraish Shihab, (2001) menyatakan bahawa al-insan membawa maksud pergerakan, bahagia atau tenang ataupun lupa. Al-insan menjelaskan bahawa ia adalah sebahagian daripada sifat seorang manusia. Manusia bergerak dan memiliki memiliki sifat lupa dan merasa tenang apabila bertemu dengan manusia lain. Manusia berusaha memberi kesenangan dan kebahagiaan kepada dirinya sendiri dan manusia yang lain. Al- insan juga merujuk kepada manusia yang diciptakan oleh Allah swt yang diberikan tanggung jawab mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Selain itu manusia juga diberi amanah dalam memakmurkan muka bumi Allah yang luas ini.

Memakmurkan muka bumi Allah, bermaksud seseorang manusia itu perlu menjalankan amanah dan syariat yang telah ditetapkan Allah. Amanah dan syariat tersebut meliputi pelbagai aspek kehidupan termasuklah sosioekonomi, mentadbir alam dan pelbagai sumber, menjadi khalifah dan sebagainya. Aspek-aspek ini memerlukan seseorang manusia itu menggerakkan atau membangunkan satu usaha kearah melaksanakan tanggungjawab tersebut. Apakah yang perlu dibangunkan? Mengapa orientasi manusia itu sendiri yang menjadi tumpuan dalam proses pembangunan dan bagaimanakah manusia itu menjadi sesuatu perkara yang penting dalam sesebuah pembangunan itu?

Hanya dua aspek yang boleh ditimbulkan bagi menjawab persoalan tersebut. Pertama dari sudut manusia itu sendiri yang merupakan nadi penggerak kepada pembangunan yang dirancang oleh mereka sendiri. Kedua manusia itu sendiri yang akan menerima impak kepada pembangunan yang dilaksanakan. Muhammad Syukri Salleh, (2003) menyatakan manusia terangkum dalam sebahagian dari prinsip-prinsip pembangunan berteraskan Islam iaitu manusia adalah pelaku kepada sesebuah pembangunan.

Ahmad Shukri Mohd Nain dan Rosman Md. Yusoff, (2003) juga menyatakan manusia bertanggungjawab dalam menjalankan segala bentuk pembangunan. Manusia memikul tanggungjawab dalam merencana, melaksana dan melestarikan pembangunan. Manusia jugalah yang akan bertanggungjawab bagi setiap implikasi pembangunan yang dilaksanakan. Namun dari mana sesebuah pembangunan itu harus dimulakan?


Membina Kekuatan Dalam Pembangunan Insan


Pembangunan semakin rancak dijalankan dan negara-negara kuat bersaing antara satu sama lain dalam memajukan diri. Pelbagai agenda, motif serta teori yang dikeluarkan oleh para cendekiawan mereka untuk bersama-sama berusaha membangunkan negara. Namun adakah semua perancangan itu wujud dengan sendirinya tanpa asas-asas yang kukuh? Tanpa pelaksanaan oleh manusia? Disini lahirnya manusia-manusia yang mempunyai visi dan objektif membangunkan matlamat dan falsafah hasil dari intuisi dan daya pemikiran mereka. Dengan berkongsi matlamat dan objektif, manusia akan merangka suatu pelan yang mana mereka juga memerlukan bantuan orang lain dalam membina sebuah kekuatan yang akan membentuk sebuah kumpulan dalam merealisasikan impian mereka. Sejarah membuktikan pembinaan tamadun dunia tidak akan mampu terhasil tanpa sesebuah komuniti itu menyumbang dalam apa jua bentuk sumbangan. Maka, terdapat keperluan bagi individu atau pemimpin ini dalam membentuk suatu model kekuatan sebagai teras dalam pembangunan insan.


1) Islam dan akidah sebagai pegangan.

Diriwayatkan hadith nabi daripada Muslim, suatu hari Saidina Umar pernah menceritakan ketika sedang duduk bersama Rasulullah, mereka didatangi seorang lelaki dengan berpakaian yang sangat putih dan rambutnya sangat hitam. Lelaki itu duduk di hadapan Rasulullah dan bertanya tentang Islam. Maka Rasulullah pun bersabda,

“Islam adalah apabila engkau bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah utusan Allah, engkau mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa Ramadhan dan menunaikan haji jika mampu.

Lelaki itu menjawab “Engkau benar”. Lalu bertanya lagi kepada Rasulullah tentang iman. Baginda bersabda lagi,

“Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya dan hari akhirat dan engkau beriman kepada takdir yang baik mahupun yang buruk”.

Hadith ini menjelaskan bahawa malaikat Jibril datang kepada Rasulullah dan para sahabat bagi mengajar tentang kaedah-kaedah atau prinsip Islam. Maksud bagi pertanyaan Jibril tersebut menyatakan tentang rukun Islam, rukun Iman dan yang mana wajib kita sebagai manusia, beriman dengan rukun tersebut. Islam dari sudut agama Islam sendiri menjelaskan bererti tunduk dan berserah diri sepenuhnya kepada Allah. Islam menurut syariat, berpaksikan kepada rukun iman dan rukun Islam. Setelah rukun tersebut ditegakkan, maka iman pula menjadi suatu keyakinan setelah rukun tersebut kukuh kerana iman menurut istilah syara’ bermaksud keyakinan yang bersifat khusus kepada rukun iman dan rukun Islam tadi. Iman sangat penting menjadi sandaran dalam pembinaan kekuatan pembangunan insan kerana iman adalah asas kepada amalan. Manusia yang tidak beriman, segala amalnya tidak akan diterima oleh Allah dan tidak mendapat pahala. Apakah keperluannya sesuatu pembangunan itu jika segala apa yang dibuat hanya sia-sia dan tidak beroleh pahala. Semua perkara ini jelas menjadi satu hubungan yang boleh dilihat hala tujunya sesuatu pembangunan insan. Samada mereka yang ada beriman atau tidak, disitu menjadi perbezaan kekuatan untuk apa sesuatu matlamat akhir pembangunan tersebut. Keredhaan Allah semata-mata atau hanya untuk pencapaian materialistik sahaja yang ingin dicapai.


Penutup

Ini merupakan antara perbincangan yang telah banyak dibincangkan namun akibat keghairahan manusia mencapai kemajuan, manusia kerapkali mengabaikan perkara penting yang menjadi kekuatan kepada pembangunan insan. Perbincangan ini akan dilanjutkan pada artikel yang akan datang berkenaan dua lagi kekuatan yang boleh dijadikan panduan kepada umum. Sehingga bertemu lagi di lain masa dan berkesempatan waktu untuk berbicara. Wassalam.


Bibliografi

Abang Mohd. Razif Abang Muis. (2015). Pembangunan Insan Berteraskan Islam. Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur.

Ahmad Shukri Mohd. Nain dan Rosman Md Yusof. (2003). Konsep, Teori, Dimensi dan Isu Pembangunan Penerbit Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor Darul Ta’zim.

Dakwah Jendela Pemikiran Ummah. (t.t.) Hakikat Manusia Sebagai Khalifah Diakses daripada http://www.dakwah.com.my/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=462:hakikat-manusia-sebagai-khalifah&catid=124:tafsir&Itemid=341 pada 28 Februari 2016

Fahrur Muis dan Muhamad Suhadi, (2014). Syarah Hadis 40 Imam Nawawi. ISBN 978-967-361-012-9 Penerbit Kemilau Publika Sdn. Bhd.

Kisah Muslim. (2013). Muhammad Al-Fatih, Penakluk Konstantinopel Diakses daripada https://kisahmuslim.com/4287-muhammad-al-fatih-penakluk-konstantinopel.html/ pada 28 Februari 2016

Muhammad Syukri Salleh. (2003). 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.

Muhammad Quraish Shihab, (2001). Tafsir Al-Misbah. Pesan, Kesan dan Keserasian Al-Quran. Penerbit Lantera Hati, Jakarta Vol I-IV




No comments:

Post a Comment