Sunday 17 April 2016

Pengurusan Pembangunan Insan Dalam Institusi

Assalamualaikum wbt.

Pada penulisan yang lalu telah dibincangkan berkenaan kekuatan pertama yang perlu dibentuk dalam pembangunan insan. Seperti yang sedia maklum, dalam teras pertama telah dibincangkan berkenaan Islam dan akidah sebagai pegangan kukuh. Islam dan akidah sememangnya tidak boleh dipisahkan daripada diri seorang mukmin. Apatah lagi dalam mengejar kemajuan dan pembangunan sehingga mengabaikan agama dan akidah kerana lalai dengan kebendaan dan materealistik semata-mata. Maka pada penulisan kali ini, sumber kekuatan yang kedua dalam usaha pembangunan insan ini akan dibincangkan sebagai kesinambungan penulisan yang lalu.

Membina Kekuatan Dalam Pembangunan Insan

2) Keperibadian dan Ketaqwaan.

Setelah iman dan akidah dikukuhkan dalam diri, maka dari situ perlunya pembentukan akhlak, keperibadian dan ketaqwaan dalam menjadi jati diri. Manusia yang mempunyai iman dan akidah tanpa tiga perkara ini umpama melayarkan sebuah kapal di lautan luas tanpa nakhoda yang mengemudi kapal tersebut. Hal ini kerana akidah adalah permulaan dalam membina asas kepada amalan seseorang. Maka amalan bergantung kepada akidah dan iman seseorang.

“Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Rabb kalian yang telah menciptakan kalian dari seorang diri.” (QS. An-Nisa`: 1)

Imam Ibnu Rajab rahimahullah pernah berkata dalam Jami’ Al-Ulum wa Al-Hikam, beliau menyatakan “Asal makna ketakwaan adalah engkau menjadikan antara dirimu dengan siksaan Allah berupa penghalang yang akan melindungi kamu darinya.” Semua ucapan, amalan, dan keyakinan yang tujuannya melindungi kita dari siksaan Allah maka itu adalah ketakwaan.
Dapat dilihat disini bahawa amalan juga membentuk kepada keperibadian dan ketaqwaan seseorang. Dalam konteks pembangunan insan, terkadang manusia melupakan perkara ini kerana terlalu ghairah mengejar dan mencapai matlamat.

Abang Mohd. Razif Abang Muis, (2015) menyatakan kesepaduan dalam diri insan untuk menjalankan sesebuah pembangunan insan memerlukan keseimbangan aspek fizikal dan kerohanian. Maka pengukuhan aspek rohani menjadi asas utama dalam melaksanakan pembangunan insaniah. Tidak hanya sekadar pembangunan dari aspek fizikal dan material sahaja yang dititikberatkan. Bilal bin Rabah dan Amar bin Yasir antara mereka yang dikurniakan kekuatan akidah dan iman serta ketaqwaan yang cukup cekal menghadapi pelbagai penyeksaan hasil didikan Nabi Muhammad SAW. Baginda boleh mendidik para sahabat sehingga mereka memiliki kekuatan seumpama itu dengan hanya didikan akidah dan ketaqwaan. Nabi Muhammad SAW adalah contoh pemimpin yang sempurna dalam melaksanakan pembangunan insan dari segenap aspek. Akhlak dan keperibadian baginda menjadi model dalam membentuk disiplin insaniah bagi seluruh sahabat dan umat Islam pada waktu itu. Sehinggakan mereka sentiasa kuat menghadapi pelbagai penyiksaan dan rintangan dari musuh Islam. Jelas ditekankan disini bahawa akidah, taqwa dah keperibadian adalah asas paling tinggi dalam membentuk kekuatan insan sebagai asas kepada sesebuah pembangunan.

Penutup

Keperibadian dan ketaqwaan pada asasnya menjadikan seseorang mukmin menyedari bahawa peri pentingnya kesinambungan akidah dengan akhlak dan ketaqwaan. Setiap satu perkara ini saling berkait dan saling melengkapi antara satu sama lain. Tidak lengkap iman seseorang mukmin tanpa taqwa tapi seorang mukmin yang bertawa sudah pasti dia mengenal jalur iman dan Islam. Pada penulisan yang akan datang, kita akan membincangkan sumber atau asas kekuatan yang ketiga berkenaan sumber kekuatan dalam pembangunan insan. Sehingga bertemu lagi di lain waktu dalam perbincangan seterusnya.

Wassalam

Bibliografi

Abang Mohd. Razif Abang Muis. (2015). Pembangunan Insan Berteraskan Islam. Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur.

Ahmad Shukri Mohd. Nain dan Rosman Md Yusof. (2003). Konsep, Teori, Dimensi dan Isu Pembangunan Penerbit Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor Darul Ta’zim.

Ayat-ayat Al Quran Tentang Ketaqwaan Kepada Allah. (2014). http:// puteradelima. blogspot.my /2014 /04/ayat-al-quran-tentang-ketakwaan-kepada.html Di akses pada 3 April 2016.

Dakwah Jendela Pemikiran Ummah. (t.t.) Hakikat Manusia Sebagai Khalifah Diakses daripada http://www.dakwah.com.my/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=462:hakikat-manusia-sebagai-khalifah&catid=124:tafsir&Itemid=341 pada 28 Februari 2016

Fahrur Muis dan Muhamad Suhadi, (2014). Syarah Hadis 40 Imam Nawawi. ISBN 978-967-361-012-9 Penerbit Kemilau Publika Sdn. Bhd.

Kisah Muslim. (2013). Muhammad Al-Fatih, Penakluk Konstantinopel Diakses daripada https://kisahmuslim.com/4287-muhammad-al-fatih-penakluk-konstantinopel.html/ pada 28 Februari 2016.

Konsep Taqwa Dalam Al-Quran. (2012). http://derapkakidebu.blogspot.my/2012/03/konsep-taqwa-dalam-al-quran.html

Muhammad Syukri Salleh. (2003). 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.

Muhammad Quraish Shihab, (2001). Tafsir Al-Misbah. Pesan, Kesan dan Keserasian Al-Quran, Penerbit Lantera Hati, Jakarta Vol I-IV

No comments:

Post a Comment